Sunday 15 May 2016

BENGKEL PENULISAN FANTASI-THRILLER 2016

Bismillahirrahmannirahim…

Assalamualaikum W.B.T




Alhamdulilah, saya diberi peluang sekali lagi oleh Allah S.W.T untuk menghadirkan diri di sebuah bengkel penulisan iaitu Bengkel Penulisan Fantasi-Thriller yang diadakan di Rumah Pena Kuala Lumpur bersamaan dengan 14 Mei 2016 dan dianjurkan oleh seorang Editor yang cukup berbakat besar, komited dan toleransi, Cik Puan Nor Liana Omar a.k.a Leanne Adam.

Saya cukup bertuah kerana menjadi salah satu peserta yang terpilih kerana bagi saya bengkel ini bersifat semua dalam satu. Dalam bengkel ini yang disampaikan secara santai dan lebih banyak bersoal jawab, kami diterangkan cukup banyak tentang teknik penulisan, hak penulis, dunia penerbitan, kesedaran dari segi nilai-nilai positif dan sebagainya tentang penulisan.

Bengkel ini lebih memfokuskan tentang penulisan ‘cereka’ untuk genre Fantasi-Thriller. Sebelum ini, saya anggap penulisan genre ini sama dengan penulisan genre-genre yang lain. Tapi semalam, baru saya tahu, genre ini memerlukan satu ketelitian yang cukup mendalam. Lebih-lebih lagi dari segi ilmu pengetahuan dan logik. Penulis perlu bersungguh-sungguh membuat kajian. Dengan kajian yang sambil lewa mungkin dapat mencacatkan karya kita jika kita memilih menulis genre ini.

Walaubagaimanapun, dalam penulisan genre ini, kita perlu bijak untuk mengolah fakta yang kita tahu untuk tidak jadikan ia satu karya yang bercelaru dan sukar difahami. Lagipun, kita menggunakan konsep ‘Fiksyen’ iaitu antara gaya penulisan yang tidak terlalu berat untuk pembaca. Selain itu, bila disentuh tentang isu pemilihan nama pena yang sesuai dan menarik, saya tertarik dengan satu pesanan oleh Cik Puan Nor Liana Omar iaitu “Biarlah buku yang menjual nama kita, jangan nama yang menjual buku kita”. Pesanan ini bermaksud, isu nama pena adalah satu isu yang kecil namun sebenarnya apa yang penulis perlu utamakan ialah konten dalam sesebuah karya yang kita hasilkan. Adakah konten kita itu menarik dan membawa mesej yang baik.

Satu sesi perkongsian bersama seorang penulis yang bukan calang-calang iaitu Maya Iris yang telah melahirkan karya-karya hebat seperti Konspirasi Suami, Mahar Cinta Cinderella, Curahan Cinta Niagara dan Kuseru Namamu Kekasih banyak juga berkongsikan teknik penulisan yang beliau gunakan. Satu yang saya tertarik melalui karya beliau adalah beliau banyak menggunakan rujukan dan pendekatan melalui Al-Quran. Saya cukup kagum. Disitu saya sedar, di dalam Al-Quran sendiri kita tahu banyak cerita, penerangan dan peristiwa, Maya Iris berjaya menjadikan atau mengolahkan ia menjadi satu bentuk penulisan Fiksyen yang tidak berat dan berjiwa santai. Saya sangat suka dan mahu cuba mempraktikkannya. 

Pengisian bengkel ini juga, penulis diterangkan serba sedikit tentang hak cipta, kontrak, penerbitan sendiri dan sebagainya. Disini, kami sedari bahawa kami perlu berhati-hati mensain kontrak dan tentang hak-hak penulis yang sebenarnya.


Bengkel ini lebih menjadi menarik apabila sesi terakhir kami dapat bersama dengan seorang Penulis Genre Fantasi-Thriller yang cukup berbakat besar iaitu Ahmad Patria Abdullah atau dengan panggilan mesranya ‘Abang Pat’. Dengan perkongsian yang cukup santai dan humor, kami diberi cukup banyak pesanan yang sangat berguna untuk kami sebagai penulis. Antaranya ialah :

1. Keikhlasan dalam menulis.

2. Menulis apa yang kita mahukan.

3. Belajar melalui kritikan (pengalaman beliau, beliau banyak mendapat kritikan daripada ayahanda beliau sendiri)


4. Teruskan saja menulis walau kita rasa karya kita tidak bagus dan kadangkala rasa ragu-ragu

5. Menghantar karya pada yang tahu menilai dan tidak berbahasa kasar dan kesat yang menjadi pembunuh semangat kita.

6. Kena mula menulis dari sekarang dan terus berkembang.

7. Apabila tiada ilham, banyakkan membaca dan banyak menonton filem.

8. Perlu bersemangat untuk penulis (lebih selamat, jangan bertangguh. Jangan tunggu)

9. Ketabahan untuk menulis.

10. Usaha menulis satu hari, satu muka surat sekurang-kurangnya.

11. Menulis bukan pasal duit dan permintaan, WE ARE BORN TO DO THIS THING.

12. Writers is a fighter. Fighting spirit kena ada.

13. Jangan pernah berhenti.

14. Untuk menghasilkan karya yang bagus, belajar dengan penulis yang kita minat. (beliau belajar banyak dari penulis barat, Tolkien)

15. Jangan terlampau detail, ‘Don’t say 10 words if you can use in 1 word’

16. Less is more

17. Keaslian cerita kita.

18. Gunakan bahasa persuratan. (Rujukan terbaik : PRPM (Pusat Rujukan Persuratan Melayu)

19. Menulis ikut gerak hati

20. Menulis secara natural. Tiada niat tertentu.

21. Pemilihan nama watak sangat penting. (Do Research)

22. Jangan gunakan bahasa dedatik.

23. Menulis di tempat yang sesuai dan selesa. (Terpulang pada penulis)


Beliau banyak juga menegaskan dari segi keikhlasan dan semangat waja seorang penulis.

Alhamdulilah, bengkel ini keseluruhannya banyak memberi impak positif dan kesedaran pada saya. Saya yang sangat baru dalam bidang ini juga dapat menimba ilmu dengan banyak sekali. Malahan, dapat bergaul dengan rakan peserta yang merupakan penulis yang hebat-hebat juga. Semangat saya semakin kuat dan semoga dengan ini saya juga dapat menjadi seorang penulis yang ikhlas dan berjiwa kental seperti rakan-rakan yang lain.


Terima kasih tidak terhingga kepada semua yang terlibat. Semoga Allah sentiasa merahmati dan memberkati sahabat semua. 



No comments:

Post a Comment